Thursday, October 29, 2009

Gula Fruktosa dalam minuman ringan bertindak seperti lemak


Menurut sesetengah saintis, fruktosa adalah gula yang mempunyai bahaya tersembunyi. Ia adalah jenis gula yang diperolehi daripada buah, tetapi menggunakannya sebagai pemanis dalam makanan lain adalah menimbulkan kontroversi semasa, dengan teori baru yang mengaitkannya dengan kegemukan dan isu kesihatan lain.

Fruktosa banyak digunakan di Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam bentuk sirap jagung yang banyak fruktosa untuk memaniskan minuman ringan.

Ia mula terkenal apabila diperhatikan bahawa peningkatan dalam penggunaan sirap jagung yang banyak fruktosa oleh pengeluar makanan sama dengan peningkatan dalam kegemukan.

Tetapi fruktosa juga terdiri daripada 50% sukrosa jadi masalah itu bukan sahaja membabitkan sirap jagung tetapi juga sukrosa.

Jus buah asli mengandungi banyak fruktosa, dan sungguhpun kita telah mengetahui sebiji buah adalah lebih baik dan gula serta asid dalam jus tidak baik untuk gigi kita, mungkin terdapat lebih banyak alasan untuk tidak meminumnya terlalu banyak.

Kajian telah menunjukkan fruktosa tidak bertindak seperti gula lain dalam tubuh, dan dimetabolismekan dalam cara yang boleh menyebabkan pertambahan berat badan. Ia tidak menahan ghrelin, hormon kelaparan. Apabila perut kosong, paras ghrelin berada di paras tertinggi dan menyebabkan rasa lapar.

Selepas anda makan, paras ghrelin menurun, menyebabkan anda rasa kenyang. Tetapi disebabkan fruktosa tidak mempunyai kesan ke atas penahanan ghrelin, ia juga tidak menahan lapar. Jadi, bahayanya ialah anda akan makan lebih kilojoule kerana anda masih berasa lapar. Menurut sesetengah kajian, satu lagi masalah mengenai fruktosa ialah kesannya ke atas hati.

Tidak seperti gula lain, yang dipecahkan oleh organ tubuh lain, fruktosa mengalir terus ke hati seperti lemak – dalam perkataan lain, ia adalah karbohidrat yang bertindak seperti lemak. Hasilnya ialah lemak dikumpulkan pada hati. Ia juga ditunjukkan menyebabkan tekanan darah tinggi, dan peningkatan kolesterol buruk (LDL).

Walaupun fruktosa adalah gula buah, banyak lagi sumber yang boleh diperolehi selain fruktosa. Sebagai contoh, serat yang dikandungi buah untuk mengimbangi sebarang kesan berbahaya.

Jadi jangan berhenti memakan buah.

sumber: Consumer Association Penang (CAP)